Sunday, December 20, 2009

Jihad seorang Wanita

Ditulis oleh member kepada member aku...
Jihad seorang Wanita

Apabila disebut perkataan 'jihad', apakah yang
terlintas di dalam fikiran kita? Serta-merta
tergambar kesungguhan berkorban yang akan
menimbulkan semangat berjuang hingga ke titisan
darah yang terakhir! Semangat ini memang baik
dan perlu dipupuk bertepatan dengan ketetapan
Islam serta kehendak Allah SWT.

Hakikat Jihad

Definisi jihad menurut syara' ialah seorang muslim
menyerahkan tenaganya untuk mempertahan dan
menyebarkan Islam bagi mencapai keredaaan
Allah. Dari sini nanti akan terbentuk sebuah
masyarakat Islam dan seterusnya akan terbina
negara Islam yang sihat. Jihad mesti berterusan
hingga ke hari qiamat. Martabat jihad yang paling
rendah ialah jihad di dalam hati dan yang paling
tinggi ialah berperang di atas jalan Allah.
Mengorbankan waktu, harta dan kepentingan diri
sendiri demi kebaikan Islam serta ummatnya juga
dikira sebagai jihad. Begitu juga dengan menyeru
kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran
serta memperjelaskan hakikat keEsaaan Allah
juga merupakan sebahagian daripada jihad.

Bagimanakah kedudukan wanita dalam jihad?

Jawapan kepada persoalan ini mesti benar-benar
difahami supaya sumbangan kita dalam jihad akan
menguntungkan Islam. Oleh itu, kita perlu
menyingkap kembali lembaran sejarah Rasulullah
SAW untuk mengambil iktibar tentang persoalan
jihad bagi kaum wanita.

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Ath-Thabrani,
pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab
yang bergelar Khatibatin-nisa' (wanita yang pintar
berpidato) datang menemui Rasulullah SAW lalu
berkata: "Aku telah diutus oleh kaum wanita
kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah
ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah,
mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur
pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan
mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita,
sering membantu mereka. Maka apakah pula
balasan kami untuk semua itu?"

Bersabda Rasulullah SAW:

"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau
temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat
kepada suami serta mengakui haknya adalah
menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan
Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada
golongan kamu yang dapat melakukan demikian."

Pada ketika yang lain, Rasulullah SAW pernah
ditanya: "Wahai Rasulullah, perempuan manakah
yang baik?"

Baginda menjawab: "Perempuan yang
menggembirakan suaminya apabila sisuami
memandangnya, mentaati suami apabila diperintah
dan tidak menyalahi suaminya baik mengenai diri
peribadinya, harta kekayaannya atau dengan apa
yang dibenci oleh suaminya."

Pada dasarnya, kaum wanita disamakan dengan
kaum lelaki dalam tanggungjawab agama sama
ada mengenai aqidah, ibadah dan muamalah,
kecuali tanggungjawab yang khusus yang sesuai
dengan fitrah (nature) kaum wanita. Begitu juga
dengan tanggungjawab jihad yang diwajibkan
kepada kaum lelaki tidak diwajibkan kepada kaum
wanita. Seandainya kaum wanita berupaya pergi
bersama-sama kaum lelaki ke medan
pertempuran, tidaklah ditolak oleh Islam.
Bagaimanapun tugas ini hanya dianggap sebagai
sumbangan tambahan.

Kita perlu jelas jihad yang paling utama dan
dituntut kepada setiap wanita ialah taat kepada
suami dan mengakui hak suami, manakala jihad di
luar rumah adalah sumbangan tambahan bagi
mereka yang berbuat demikian.

Bagaimanakah pendirian kita?

Kita mesti menyakini bahawa berjihad di barisan
hadapan oleh kaum lelaki manakala jihad kaum
wanita sebagai tulang belakang adalah ketetapan
Allah SWT yang Maha Adil, semata-mata demi
kemakmuran alam ini. Kita perlu memahami firman
Allah yang bermaksud:

"Dan orang lelaki dan perempuan (yang beriman)
sebahagian mereka (adalah) penolong bagi
sebahagian yang lain. Mereka menyuruh
(mengerjakan) yang ma'ruf dan mencegah yang
mungkar." (At-Taubah : 71)

"Dan tidak sepatutnya bagi lelaki yang mukmin
dan wanita yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-
Nya telah menentukan sesuatu ketetapan, akan
ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan
mereka. Dan sesiapa yang mendurhakai Allah dan
Rasul-Nya maka sesungguh-nya dia telah sesat
dengan kesesatan yang nyata." (Al-Ahzab : 36)

Sekarang sudah tiba masanya untuk kaum wanita
menanamkan azam dan mengumpulkan kekuatan
bagi menumpukan diri melaksanakan sepenuhnya
jihad sebagaimana yang telah ditetapkan oleh
Allah dan Rasul-Nya.

Tingkat kekuatan yang utama ialah kekuatan
iman. Iman yang kuat dapat mengekang hawa
nafsu yang sentiasa mengganas serta
melemahkan keazaman. Dengan ini, barulah jihad
yang ingin kita laksanakan menjadi kenyataaan.

Firman Allah:

"Adapun yang rasa takut maqam Tuhannya,
mencegah diri daripada menurut hawa nafsu
syurgalah tempat kembalinya." (An-Nazi'at : 40-41)

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan
dibiarkan (begitu saja) sedang Allah belum
mengetahui (dalam kenyataan) orang yang
berjihad di antara kamu dan tidak mengambil wali
(teman rapat) yang setia selain Allah, Rasul-Nya
dan orang yang beriman. Dan Allah Maha
Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (At-
Taubah : 16)

Sudut-sudut jihad wanita

1.. Menjadikan rumahtangga tempat yang bahagia
untuk keluarga berkumpul.

2.. Mewujudkan suasana Islam dalam proses
pendidikan dan pembesaran anak-anak.

3.. Menyempurnakan segala urusan rumah tangga
menurut syara' dengan penuh keikhlasan semoga
akan beroleh keberkatan.

4.. Mengajak kaum wanita lain memahami prinsip-
prinsip Islam dan cara hidup yang Allah tetapkan.

5.. Memerangi perkara-perkara bid'ah, khurafat
serta pemikiran yang salah dan adab-adab yang
buruk yang mengusai wanita masa kini.

6.. Menyertai rancangan kemasyarakatan yang
berfaaedah untuk umat manusia amnya, seperti
tadika, menjaga anak-anak yatim, kelab pemudi,
sekolah-sekolah dan bantuan untuk keluarga
miskin.

Sebagai kesimpulan, sekali lagi perlu dijelaskan
dalam diri kita bahawa jihad yang utama bagi
wanita adalah wajib bagi semua muslimah dalam
batas kemampuan yang telah Allah kurniakan.
Manakala jihad tambahan yang Allah anugerahkan
bersama keistimewaan tertentu tidak boleh
membatalkan jihad yang utama. Jihad utama
mesti dilaksanakan dahulu.
moga sama2 mendapat manfaat...aminnn...

0 comments: